Tuesday, 19 May 2026

Apa masalah orang Islam terus ketinggalam dalam aspek ekonomi berbanding bangsa lain sedangkan Islam menyarankan umatnya untuk menguasai semua perkara termasuk ekonomi untuk kemajuan ummah.

 Untuk mengatakan orang Islam terus ketinggalan dalam aspek ekonomi berbanding bangsa lain merupakan satu kenyataan yg kurang tepat.  INi kerana bilangan orang Islam yang terlibat dalam ekonomi telah ramai dan terus meningkat sejak mutakhir ini jika dibandingkan di era 1970an dan 1980an. Namun walaupun bilangan orang Islam yang berjaya dalam bidang ekonomi semakin meningkat pada masa yang sama bilangan bangsa lain yang berjaya dalam ekonomi juga turut meningkat. Ini menyebabkan masyarakat kita melihat orang Islam terus ketinggalan dalam aspek ekonomi kerana lompang jurang itu masih jauh. 

Oleh itu masyarakat perlu sedar bahawa kewujudan lompang penguasaan ‘kek ekonomi Malaysia’ antara orang Islam dan bangsa lain adalah kesan dasar penjajahan British dahulu yang tidak bertindak secara adil saksama kepada orang Islam apabila secara sengaja memperkenalkan bidang pertanian diberikan kepada orang Islam manakala dalam bidang ekonomi ataupun perniagaan diberikan kepada bangsa lain. INi telah menjadi asas wujudnya jurang ekonomi antara orang Islam dan bangsa lain. Namun selepas merdeka, kerajaan persekutuan cuba sebaik mungkin untuk mewujudkan keseimbagan ekonomi dan sosioekonomi antara rakyat dalam negara dengan diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru. Walaupun DEB ini tidak mencapai sasarannya 100% tetapi ia telah memberi lembaran baru kepada orang Islam untuk menceburi bidang ekonomi secara aktif dan adil. Sungguhpun demikian perubahan zaman dan teknologi serta kepakaran dan pengalaman memerlukan orang Islam yang betul-betul kompetitif sahaja dan berjiwa usahawan sahaja mampu bergelumang dengan arus perubahan ekonomi ini. 

Faktor keupayaan mempunyai modal kewangan yang kukuh menyebabkan orang Islam terpaksa berkira-kira untuk terlibat dalam sesuatu bidang ekonomi. Kegagalan dalam penyediaan modal yang kukuh menyebabkan ramai orang Islam terpaksa gulung tikar perniagaan mereka. Selain itu faktor minda bisnes di kalangan orang Islam kurang menonjol kerana kebanyakan masyarakat Islam datang dari keluarga yang bukan bisnes dan mereka tidak didedahkan dengan dunia bisnes dari kecil lagi. Di samping itu faktor sesetengah orang Islam yang tidak mempunyai jiwa Jihad Ekonomi dalam mengembangkan agama Islam melalui ekonomi juga dilihat faktor yang menyebabkan orang Islam terus menjadi golongan pembeli atau pengguna yang tegar. Ini kerana mereka beranggapan bahawa agama islam hanya perlu dikembangkan melalui perbuatan ibadah sahaja sehinggakan mereka lupa bahawa Rasulullah SAW dahulu merupakan seorang usahawan terhebat dan sahabat Baginda yang bernama Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman, Saidina Abdul Rahman al Auf dan ramai lagi merupakan hartawan Islam yang hebat dalam perniagaan yang menyumbang kepada perkembangan agama Islam itu sendiri. Selain itu kekurangan ilmu berkaitan pengurusan perniagaan dan pemasaran juga menyebabkan orang Islam gagal dalam bidang ekonomi khususnya mereka yang terlibat dalam ekonomi berskala kecil-kecilan.  

Faktor terakhir adalah kecenderungan orang Islam yang telah diberi ruang dan peluang untuk terlibat dalam ekonomi namun mereka memilih untuk menyewa lesen syarikat atau tapak perniagaan kepada pihak lain atau dalam erti kata lain perniagaan Ali Baba dengan hanya mengambil untung ‘atas angin’ dalam kadar tertentu tanpa perlu bersusah payah. Akhirnya golongan ini tidak mendapat manfaat apa-apa sebaliknya orang lain yang mendapat faedah dan manfaat yang jauh lebih besar berbanding mereka yang berniaga berdasarkan konsep Ali Baba. Kesimpulannya terdapat faktor lain lagi yang menyebabkan orang Islam kurang berjaya dalam ekonomi namun kegagalan ini bukan disebabkan oleh diri mereka sendiri tetapi juga masalah sistem perekonomian yang wujud dipersekitaran mereka menyebabkan mereka tidak mampu untuk bersaing secara adil dan saksama.

No comments:

Post a Comment