Wednesday, 2 November 2016

Aplikasi Muamalat Dalam Isu LUQATAH

Kita sering terjumpa barang-barang ataupun sesuatu benda yang tidak diketahui siapakah pemiliknya. Ada antara kita terjumpa wang di taman atau di jalanan, terjumpa kambing atau lembu yang terputus talinya dan tidak tahu dimanakah tuannya, terjumpa makanan atau buahan di suatu tempat dan sebagainya. Maka di dalam Islam, penemuan sesuatu benda ataupun barang ataupun binatang yang tidak diketahui siapakah pemiliknya maka ia dinamakan Luqatah atau Laqatah ataupun Luqtah. Bagi menunjukkan Islam itu merupakan agama yang adil dan sempurna maka penemuan harta benda Luqatah ini perlu diuruskan mengikut lunas-lunas syariah.

 Maksud Luqatah

Dari segi bahasa, luqatah ialah sesuatu  (benda) yang ditemui di tanah. Menurut syarak pula luqatah ialah harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga dan penemu tidak mengenali pemilik benda yang dijumpainya. Luqatah juga ditakrifkan sebagai harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain.

Dalil Berkaitan Hukum Luqatah

Ada beberapa dalil daripada al-Quran yang menceritakan tentang hal ehwal berkaitan Luqatah antaranya firman Allah SWT yang berbunyi:
“Setelah itu, ia dipungut oleh orang-orang Firaun kesudahannya ia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” – (Surah al-Qasas: ayat 8)

Selain itu, terdapat juga dalil daripada sunnah yang  mana Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
“Kenalilah ikatan atau bungkusannya. Kemudian umumkan selama setahun. Jika anda tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan anda. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah anda serahkan kepadanya.” – (Riwayat Bukhari)

Zaid bin Khalid al-Juhani meriwayatkan, seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w. berkenaan dengan harta luqatah lalu Baginda bersabda yang bermaksud:
“Hebahkanlah harta tersebut selama setahun.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Status Pemilikan Harta Luqatah

Apabila seorang Muslim menemui barangan Luqatah, adalah digalakkan mengambilnya jika dia berkeyakinan mampu memegang amanah sekiranya barangan tersebut tidak akan ditemui oleh pemiliknya. Ini dilakukan atas dasar ingin menjaga hak saudara seagama. Namun jika beliau yakin akan tidak mampu memegang amanah ini dan bimbang dia sendiri akan mengambil terus barang tersebut, maka makruh jika dia mengambilnya. Namun jika dia yakin dirinya tidak akan bersikap amanah, akan mempergunakan harta luqatah ini untuk kepentingan peribadi dan tidak ada niat untuk mengembalikan kepada tuan punya milik asal maka haram baginya untuk mengambil harta luqatah itu.

Mengikut pandangan jumhur fuqaha’, harus bagi penemu harta luqatah memiliki harta tersebut selepas tempoh hebahan sama ada beliau seorang yang kaya atau fakir. Jika harta tersebut telah dijual dia boleh memiliki harganya. Sekiranya pemilik asal ditemui beliau hendaklah mengembalikan harta atau harganya kepada pemilik tersebut sewajarnya.

Sekiranya beliau megambil harta luqatah tadi atas dasar digalakkan, maka semasa berada di bawah jagaannya, penemu harta Luqatah berkewajipan untuk menjaganya dengan cara yang sepatutnya. Dia tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa perkara kepada harta tersebut selama mana tidak ada kecuaian dari pihaknya. Walau bagaimanapun, penemu berkewajipan membuat hebahan terhadap Harta Luqatah tersebut. Harta Luqatah yang bersifat remeh dan kecil yang kebiasaannya tidak dipedulikan oleh pemiliknya tidak wajib dihebahkan dan boleh dimiliki oleh penemunya.

 Pembahagian Harta Luqatah

a) Luqatah Bukan Haiwan:
  • Harta yang cepat rosak seperti makanan. Dari segi hukum begini boleh diberi pilih kepada penemunya sama ada untuk memakan atau menggunakannya dan diganti, atau dia menjualnya dan menyimpan harganya.
  • Harta yang cepat rosak tetapi boleh dijaga supaya tidak rosak. Bagi harta jenis ini wajib bagi penemunya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pemilik asal iaitu menjual dan menyimpan harganya, melakukan sesuatu yang boleh mengelakkan harta tersebut dari rosak dengan belanja sendiri, atau dia menjual sebahagian harta tersebut bagi tujuan perbelanjaan penjagaan harta yang selebihnya.
  • Harta yang tidak rosak dan tahan lama. Bagi harta ini wajib bagi penemu menjaganya selama tempoh hebahan.
b) Luqatah Haiwan:
Harus bagi penemu memelihara haiwan yang ditemuinya dan dikembalikan kepada tuannya apabila dituntut. Beliau boleh meminta dari tuan asalnya jumlah perbelanjaan yang digunakannya. Harus juga bagi beliau menjual dan menyimpan wang hasil jualan.

Tempoh Masa Hebahan Harta Luqatah

Tempoh hebahan bagi harta yang bernilai ialah selama setahun sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Bagi harta yang tidak begitu bernilai pada pandangan masyarakat, tempoh setahun adalah tidak perlu. Bahkan adalah memadai untuk satu tempoh yang dianggap pada kebiasaannya telah sampai hebahan tersebut kepada pemilik asalnya.
Hebahan hendaklah dilakukan di tempat-tempat awam seperti pasar, di pintu-pintu masjid, akhbar-akhbar dan seumpamanya yang menjadi tempat kunjungan orang ramai.

No comments:

Post a Comment