Friday, 7 August 2026

Isu Tabung Haji susulan pendedahan RCI Tabung Haji: Sejauhmana Kebenaran dan Tindakan


 Pada hemat saya pendedahan RCI TH sangat bermakna dan memberi impak yang sangat besar bukan sahaja kepada pengurusan LTH itu sendiri tetapi juga pihak lain termasuk JAN, BNM, MOF, dan juga kerajaan. Isu ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh dan sebelah mata sahaja sebaliknya perlu perlu dihadam dan diteliti satu persatu oleh kerajaan supaya tidak berulang di masa hadapan. Para pendeposit TH khususnya masyarakat Islam sangat sensitive dengan apa sahaja yang berkaitan isu  yg boleh mencemarkan TH kerana TH merupakan satu institusi Islam yang paling dipercayai oleh masyarakat Islam dan sangat bersih kerana TH hanya bermotifkan untuk membantu masyarakat Islam menabung bagi menunaikan haji dan juga membantu menguruskan msyarakat Islam menunaikan haji secara selamat dan terancang. Jadi isu pendedahan RCI TH telah memberi satu kejutan yang sangat besar dan parah kepada para penyimpan LTH apabila banyak kesalahan tatakelola oleh mereka yang diamanahkan menguruskan LTH. Kesalahan ini telah memberi kesan rantaian yang panjang kepada kedudukan kewangan TH sehingga pelbagai asset TH terpaksa dijual dan distrukturkan semula demi menyelamatkan TH. Yang paling menyedihkan adalah dan menjadi persoalan adalah laporan RCI TH kenapa dikeluarkan terlalu lewat sehingga mereka yang terlibat masih belum ada sebarang tindakan susulan. Kerugian LTH sebanyak RM10 bilion sejak 2014 hingga 2018 bukan sahaja menunjukkan kelemahan pengurusan LTH dari aspek tatakelola, pematuhan undang-undang, kepimpinan, pelaburan dan perakauan LTH tetapi juga menunjukkan tentang pembaziran yang terpaksa ditanggung oleh LTH bagi menampung kerugian tersebut. Yang paling ketara dan mustahak adalah perlantikan orang kepentingan politik menjadi peneraju utama LTH turut menjadi antara penyumpang utama kepada berlakunya isu ini. 

  Sekiranya kerugian LTH sebanyak RM10 bilion sejak 2014 hingga 2020 jika dihisab secara purata, ia sebenarnya mampu memberi berita gembira kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya yang terdiri daripada B40 yang ingin menunaikan haji. Ini kerana dengan andaian kos haji golongan B40 sebanyak rm10,980 seorang, dijangka seramai 970,747 orang golongan B40 mampu pergi umrah secara percuma dalam tempoh 25 tahun dengan purata 36 429 orang setahun. Jumlah ini sudah mewakili 10% kuota yang diberikan kerajaan arab saudi kepada Malaysia berdasarkan daripada jumlah penduduk Malaysia sekitar 34 juta orang. Ini merupakan satu angka yang sangat besar dan impaknya sangat panjang sehingga mencecah 25 tahun bagi tajaan haji secara percuma utk golongan b40 mampu dilaksanakan oleh LTH.

 Laporan RCI Tabung Haji menunjukkan terdapat keuntungan melampau yang sebenarnya merupakan deficit sehinggakan telah menganggu keupayaan Tabung Haji untuk menanggung subsidi sepatutnya untuk rakyat. Bagi memastikan TH mendapatkan kembali keyakinan masyarakat Islam di Malaysia, kerajaan perlu:

a.       1.Menyahkan lantikan orang politik dalam struktur pengurusan tertinggi LTH

b.       2.Melantik Menteri agama yang hanya mempunyai belakangkan bidang agama dengan ekonomi Islam, atau kewangan Islam atau perbankan Islam.  

c.       3.Pemberian bonus kakitangan bawahan hingga pengurusan tertinggi yang melebihi 6 bulan perlu mendapat kelulusan dari Menteri agama

d.       4.Skim simpanan haji yang lebih realistik dengan mengambil kira reality ekonomi dunia di masa hadapan

e.       5.Melantik orang yang pakar dan berpengalaman serta mempunyai latarbelakang industry dalam anak syarikat LTH dan elak lantikan politik dalam anak syarikat LTH

f.        6.Melarang lantikan pengurusan tertinggi LTH dalam mana-mana anak syarikat LTH

g.       7.Pemberian hibah yang kompetitif kepada pendeposit TH

h.       8.Membawa kembali wang TH ke dalam rizab TH yang diberikan kepada pengurusan LTH sebelum ini secara tidak beretika sepanjang 2014-2020.

i.       9. Melaksanakan hukuman kepada mereka yang terbukti bersalah menyeleweng  dan cuba memanipulasi data dan dokumen serta keputusan yang menyebabkan LTH rugi dari 2014-2018.

 Rakyat telah memberi reaksi yang sangat hampa dan marah berdasarkan pendedahan RCI TH ini. Ini kerana rakyat merasakan simpanan mereka untuk menunaikan haji telah dimanipulasi dan diseleweng oleh pihak tertentu dengan beberapa cara demi mengaut keuntungan dan meraih populariti masyarakat  yang akhirnya telah menjerut keseluruhan operasi institusi Islam tertua di Malasysia ini. Justeru itu pengajaran yang diperolehi dari permasalahan TH ini adalah pengurusan tertinggi TH perlu berpijak di bumi yang nyata dengan mengakui kerugian dan kelemahan pengurusan TH sehinggga terpaksa memberikan kadar hibah yang rendah. Masyarakat Islam akan faham dan menerima keadaan ini tanpa perlu memperjudikan LTH dengan menawarkan kadar hibah yg tinggi kepada pendeposit demi meraih undi masyarakat tetapi hakikatnya liabliti TH lebih tinggi daripada asset TH. Ini yang sebenarnya menjadi punca kerosakan LTH di masa akan datang dan ia wajib diperbetulkan. Masyarakat perlu juga faham bahawa LTH bukan macam bank yang mementingkan keuntungan dalam setiap produk yg ditawarkan kepada pelanggan sebaliknya LTH hanya membantu menguruskan tabungan untuk menunaikan haji dan membantu masyarakat Islam menunaikana haji secara sistematik dan selamat. Jadi jka masyarakat faham, maka pemberian hibah yg rendah kepada pendeposit LTH tidak menjadi isu kerana hibah hanyalah aksesori kepada simpanan di LTH dan bukan keutamaan penyimpan pendeposit di LTH.

Terdapat beberapa cadangan daripada RCI termasuk menjalankan audit forensik terhadap pelaburan yang dibuat oleh LTH terutamanya yang merugikan. Selain mengawal pemberian bonus melampau termasuk bonus istimewa yang dilihat tidak mengikut peraturan, langkah-langkah yang sepatutnya boleh ditambah baik oleh kerajaan adalah dengan memastikan apa yg telah dicadangkan oleh RCI TH dikuatkuasakan ke atas institusi LTH. Mungkin sudah sampai masanya satu keputusan berani dan berwibawa perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang demi kelangsungan LTH iaitu dengan menggubal akta tabung haji 1955 melalui menguatkuasakan akta TH yang melarang lantikan orang politik dalam struktur pengurusan tertinggi LTH. Selain itu Menteri agama yang diberi kepercayaan untuk memantau TH tidak boleh dilantik di kalangan mereka yg hanya tahu bidang agama semata-mata sebaliknya mesti terdiri dari mereka yang mempunyai latarbelakang agama dengan displin ilmu yg lain iaitu perbankan dan kewangan Islam. Satu pasukan forensic dan audit berkaliber perlu diwujudkan oleh LTH bagi membolehkan laporan kewangan LTH sentiasa valid dan mematuhi peraturan.

Langkah yang boleh diambil oleh PDRM dan peguam negara dengan Kerjasama SPRM adalah membuka kembali kes siasatan ke atas isu kerugian LTH bermula dari 2014 sehingga 2020. Jika terbukti wujudnya kepincangan dan kesalahan tatakelola secara sengaja dari sudut kepimpinan dan membuat keputusan, melanggar dan ingkar arahan, peracangan pelaburan, etika perakaunan, manipulasi data, dokumen palsu serta mempunyai unsur-unsur kepentingan sekumpulan tertentu bagi meraih keuntungan dengan cara mudah dan senang maka tindakan hukuman sewajarnya perlu diambil dengan berat supaya kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan kerana krisis ini sebenarnya telah menghakis tahap keyakianan dan kepercayaan masyarakat Islam untuk menyimpan wang di LTH bagi menunaikan haji. Oleh itu kerajaan perlu berusaha mengembalikan lagi kepercayaan orang ramai untuk terus menyimpan di LTH dengan berusaha mendapatkan kembali kerugian RM10 bilion dengan apa jua cara daripada mereka yang bertanggungjawab dgn kerjasama SPRM, PDRM dan Peguam negara. Ini tidak mustahil kerana melalui pengalaman kes 1MDB kerajaan Malaysia telah berjaya memperolehi sebahagian wang tersebut. Selain itu mereka yag terpalit dan didapati bersalah dengan isu RC TH ini juga perlu disenaraikan sebagai mereka yang tidak boleh terlibat dan dilantik dengan mana2 syarikat GLC, GLiC atau agensi di bawah kerajaan di masa akan untuk selamanya.

MFi@chegar

No comments:

Post a Comment