Bulan ramadan al-mubarak merupakan bulan yang yang di nanti-nanti
oleh seluruh umat Islam di dunia. Di bulan ramdan ini seluruh umat Islam
berpuasa seperti firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, diwajibkan
berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum
kamu, semoga kamu bertakwa” (Surah al–Baqarah: Ayat 183). Sejarah telah membuktikan bahawa di bulan
ramadan ini al-quran telah diturunkan oleh Allah untuk manusia jadikan panduan
hidup di dunia dan mencapai kebahagian di akhirat. Namun yang lebih menarik dan
di nanti-nanti oleh umat Islam ialah di bulan ramadan ini terdapat di satu
malam yang dicari-cari oleh orang Islam iaitu malam lailatul qadar yang mana
amalan di malam ini di samakan dengan 1000 amalan di bulan-bulan lain. Ini
jelas menunjukan terdapat pelbagai kelebihan yang diberikan oleh Allah untuk
hamba yang inginkan kenikmatan di bulan ramadan ini yang meliputi manfaat
kesihatan dan manfaat ekonomi. Dari sudut manfaat ekonomi, bulan ramadan ini membuka
peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjana dan mengaut keuntungan berlipat
kali ganda dengan jualan makanan-minuman dan barangan masing-masing khususnya
di bazar-bazar ramadan. Lihat sahaja di merata –rata tempat kelihatan ada
sahaja bazar-bazar ramadan yang menyediakan bukan sahaja puluhan menun makanan
bahkan ada yang mencecah ratusan menu makanan yang menjadi pilihan orang yang
berpuasa.
Bazar Ramadan yang menepati hukum syarak?
Bazar ramadan yang menepati hukum syarak ialah bazar
ramadan yang mempunyai suasana persekitaran perniagaan dan urusan jual beli
yang menepati hukum muamalat Islam. Dalam erti kata lain bazar ramadan ini terdiri
daripada penjual-penjual makanan yang mengutamakan konsep halal dan toyyibah
terhadap makanan yang dijual dan bertaqwa manakala pembeli pula adalah terdiri
daripada mereka yang tidak mengamalkan pembaziran dan mengikut nafsu ketika
membeli sebaliknya membeli secara sederhana dan mengutamakan keperluan berbanding
kehendak. Selain itu penjual juga mengetahui tentang rukun-rukun jual beli yang
terdiri daripada penjual dan pembeli, barang yang dijual serta penawaran dan
penerimaan. Setiap rukun ini pula mempunyai syarat-syarat yang tersendiri.
Bagaimana mencari
barakah di bazar Ramadan?
Barakah ialah sesuatu pengiktirafan dan kemanisan yang
diberikan oleh Allah kepada seseorang manusia yang melakukan sesuatu perkara
adalah semata-mata perasaan taqwa kepada Allah. Allah SWT telah berfirman di
dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “ Sesungguhnya yang paling mulia
di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu.” Oleh itu seseorang
peniaga harus sedar bahawa perniagaan yang dijalankan di bazar ramadan bukan
semata-mata kerana ingin mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan
meletakkan harga yang tinggi sebaliknya meletakkan konsep memaksimumkan pahala
melalui aktiviti jualan makanan dan minuman untuk juadah berbuka puasa kepada
umat Islam yang sedang berpuasa. Begitu juga pembeli yang meletakkan konsep
berbuka puasa dengan mengamalkan makanan sunah dan bersederhana ketika
berbelanja dan bukan dengan membeli makanan yang pelbagai bagi memenuhi
kehendak hawa nafsu ketika berbuka. Ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT
di dalam surah Al–Israa’ ayat 26–27 yang bermaksud: “…dan janganlah kamu
belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau–lampau. Sesungguhnya orang
yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah
makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”. Jika perkara ini boleh dilakasanakan
dan dipraktikkan, insya-Allah keberkatan di bazar ramadan tersebut akan wujud
di mana penjual berasa nikmat dengan hasil jualannya manakala pembeli berasa
bersyukur sebab dapat membeli makanan yang halal serta bersih dan tidak
meragukan serta tidak mahal dan berkualiti.
Apa yang perlu
dielakkan oleh peniaga ketika di bazar ramadan?
Bagi peniaga-peniaga di bazar ramadan, ingin saya
cadang dan nasihatkan agar marilah mencari keberkatan rezqi di bazar ramadan
dengan cara yang halal dan mengikut syarak. Perkara-perkara yang perlu dielakkan oleh
peniaga dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu makanan yang dijual dan
peniaga itu sendiri:
Makanan yang dijual:
·
Menjual makanan dengan mahal
disebabkan peniaga lain tidak menjual makanan tersebut (monopoli)
·
Menjual makanan yang tidak
habis dijual serta sudah basi dan dimasak semula untuk dijual
·
Menjual barangan curi dengan
harga yang murah
·
Menjual makanan tanpa
meletakkan harga makanan
·
Menjual makanan yang mempunyai
bahan-bahan yang tidak dibenarkan oleh syarak
·
Menjual barangan berbahaya dan
membazir seperti mercun
Peniaga Bazar
·
Penjual mestilah terdiri
daripada orang Islam yang berpuasa khususnya lelaki kerana ada penjual dibazar
ramadan yang tidak berpuasa tetapi berpura-pura puasa
·
Berhenti menjual seketika
ketika azan dan menunaikan solat fardu dahulu kerana ada penjual dibazar yang
sudah datang kebazar ramadan sebelum asar dan mula berniaga hingga ke maqrib
tanpa solat fardhu
·
Menutup aurat bagi lelaki dan
khususnya perempuan
·
Bersedekah sambil menjual
makanan seperti memberi makanan lebih kepada pembeli kerana ingin mengaut
pahala ramadan berganda
·
Penampilan penjual dan tempat
berniaga mestilah bersih kerana bersih itu sebahagian daripada iman
·
Senantiasa memberi senyuman kepada
pembeli kerana senyuman itu satu sedekah
·
Menjaga tutur kata dan
penglihatan agar tidak terjebak kepada perkara-perkara yang boleh mengurangkan
pahala seperti mengumpat pembeli yang
tidak mahu membeli makanan yang dijual ataupun melihat dengan ranjang
terhadap wanita-wanita yang datang di bazar ramadan
·
Memaksimumkan pahala lebih diutamakan
berbanding memaksimumkan keuntungan iaitu menjual makanan dengan harga yang
tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah tetapi masih lagi mampu mendapat
keuntungan bersih
Apa yang seharusnya
perlu dilakukan oleh pembeli ketika membeli juadah di bazar ramadan?
Pembeli yang bijak dan menepati tuntutan syarak adalah
pembeli yang mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Ini kerana kehendak
manusia adalah tidak terhad kerana didorongi oleh nafsu, tetapi pembeli yang
bijak dan beriman mampu untuk menundukkan hawa nafsunya dengan membeli mengikut
keperluan semata-mata dan tidak boros, membazir serta tamak. Allah SWT telah berfirman
dalam Surah Al–A’raf ayat 31 yang bermaksud “...dan makanlah serta minumlah,
dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang
melampaui batas”.
Sebagai contoh kita tidak perlu untuk membeli pelbagai
makanan yang pada pandangan mata kasar kita ia sedap dan mengiurkan. Cukup
sekadar membeli satu atau dua juadah sahaja kerana yang dikejar di dalam bulan
ramadan bukan menjamu makan yang sedap ketika berpuasa tetapi yang utama adalah melakukan solat terawih dengan tekun
dan mencari Lailatul Qadar serta bertadarus dan berzikir sepanjang malam
selepas berbuka puasa. Selain itu pembeli yang bijak dan bertaqwa juga akan
memperuntukkan sedikit wang untuk membeli juadah untuk disedekahkan kepada
jiran-jiran terhampir. Ini dilakukan kerana ingin memaksimumkan pahala dibulan
ramadan dengan mencari pahala yang lebih melalui memberi makan kepada orang
yang berpuasa. Rasulullah SAW juga
bersabda maksudnya "Sesiapa yang bersedekah menyediakan makanan bagi orang yang
berpuasa, maka baginya pahala sebanyak mana orang yang berpuasa itu tanpa
dikurangi pahala mereka".
Bagaimana cara
untuk berbelanja mengikut Islam ketika di bazar ramadan?
Cara berbelanja mengikut Islam ketika di bazar ramadan
ialah seseorang pembeli perlu mengetahui objektif berbuka puasa di dalam Islam.
Islam tidak melarang umatnya untuk berbuka puasa dengan makanan yang lazat dan
sedap tetapi tidak sampai ke tahap membazir dan melalaikan seseorang. Oleh itu
sebelum berbelanja, seseorang pembeli harus membahagikan pembelanjaan untuk
diri dan keluarganya serta perbelanjaan untuk jiran tetangga. Pastikan
perbelanjaan yang telah diperuntukkan untuk
diri dan keluarga serta jiran tetangga sahaja yang dibawa ke bazar
ramadan. Ini perlu dilakukan untuk mendisiplinkan diri agar
tidak membeli makanan di luar kemampuan bajet yang diperuntukkan.
Apakah punca yang menyebabkan keberkatan hilang semasa
berniaga dibazar ramadan?
Terdapat beberapa punca yang mungkin boleh menyebabkan
keberkatan berniaga di bazar ramadan hilang. Punca yang utama ialah tidak
mengingati Allah yang memberikan rezqi seperti meninggalkan ibadat solat lima
waktu sedangkan solat itu tiang agama. Sifat dan sikap penjual itu sendiri yang
leka menjual makanan dan minuman bermula sebelum asar hingga waktu berbuka
puasa tetapi tidak langsung menunaikan tuntutan wajib seperti solat asar. Punca
lain ialah sikap penjual itu sendiri yang suka menjual makanan yang tidak
bersih, menjual makanan lama yang sebelum ini tidak habis dijual, menjual
makanan yang terdedah dengan kekotoran, penampilan penjual yang agak kotor dan
hisap rokok ketika menjual makanan serta kuku panjang, diskriminasi pembeli,
menipu harga makanan, berbohong tentang makanan yang dijual, tidak meletakkan
tanda harga makanan serta minuman dan pelbagai lagi. Bagi pembeli pula ialah
sikap berbelanja dengan boros dan membazir serta menunjuk-nunjuk kepada
masyarakat akan menyebabkan keberkatan terhadap makanan yang dibeli akan hilang
begitu sahaja. Selain itu, sikap pembeli yang tidak berasa syukur atas nikmat
rezqi yang Allah kurniakan akan sentiasa berasa kedekut untuk bersedekah di
bazar ramdan walhal dibazar ramadan terdapat pelbagai tabung bergerak yang
memerlukan bantuan kewangan seperti tabung kemanusiaan Gaza dan Syria, pusat
tahfiz, anak yatim, wakaf masjid dan
pelbagai lagi.
No comments:
Post a Comment